PENULISAN JURNAL
MINGGU : 5 PRAKTIKUM
TARIKH : 18 JULAI HINGGA 22 JULAI 2011
TAJUK : Masalah kawalan kelas
MASALAH
Pada minggu kelima praktikum saya telah mengalami masalah kawalan kelas di mana anak murid saya suka membuat bising sekiranya ada orang yang datang melawat atau sesiapa sahaja yang datang ke tabika saya. Mereka seperti tidak menghormati tetamu yang hadir. Apabila ada tetamu yang ingin berjumpa dengan saya mereka akan sibuk berkumpul ke tempat saya semasa saya sedang berbincang dengan tetamu walaupun mereka sedang membuat kerja yang diberikan oleh saya. Masalah kelas agak kurang memuaskan. Masalah yang saya hadapi sekarang adalah saya sukar untuk mengawal kelas ketika ada orang datang melawat, terutamanya sewaktu pembekal datang untuk mengambil bayaran yang tertunggak di tabika. Saya agak malu, namun begitu saya cuba sedaya upaya untuk mengawal kelas dengan baik. Setakat ini syukur Alhamdulillah saya masih dapat mengawal kelas walaupun terpaksa menggunakan pelbagai kaedah. Dengan cara ini juga ia dapat menambah ilmu pengetahuan saya di dalam mengatasi masalah tingkah laku murid. Masalah ini juga dapat dikaitkan dengan persekitaran kawasan tabika saya yang bising kerana terdapat kerja-kerja pengubahsuaian balai raya. Keadaan pertukangan yang bising ditambah dengan habuk yang tebal menyebabkan keadaan yang tidak selesa bagi saya. Mungkin ini salah satu punca murid-murid saya menjadi aktif dan tidak mendengar suara dengan lebih jelas semasa saya memarahi mereka dengan tujuan bagi mereka senyap seketika.
ANALISIS MASALAH
Perancangan yang teliti adalah penting untuk mengajar. Mengikut Clark and Lampert (1986), perancangan guru menentukan apa yang diajar disekolah-sekolah. Perancang yang baik melibatkan peruntukan penggunaan masa dan pemilihan kaedah mengajar yang sesuai agar boleh menarik minat pelajar dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang produktif. Malah aktiviti yang menarik dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Maka di sini murid-murid tidak akan menganggu pengurusan guru dengan para pelawat yang datang ke tabika ataupun sekolah. Marilah kita melihat bagaimana guru merancang pengajarannya. Sebelum guru merancang, beliau patut ikuti prinsip merancang pengajaran:
- Menentukan apa yang hendak diajar
- Merancang bagaimana hendak mengajar
- Mencari cara memudah cara pembelajaran
- Pengurusan pembelajaran.
CADANGAN
Langkah-langkah yang perlu saya ambil adalah seperti berikut :
1) Memberi peneguhan yang positif kepada murid sekiranya ia berkelakuan baik dan tidak mengganggu rakan-rakan yang lain.
2) Mengadakan teknik pembelajaran yang menarik dan menggunakan pelbagai bahan yang sesuai serta menggunakan teknik variasi rangsangan bagi menarik minat mereka.
3) Menasihati dan menegur mereka jika tidak menunjukkan tingkah laku yang kurang sopan di depan tetamu.
4) Memberi mereka dendaan atas perbuatan yang mereka lakukan sebgai pengajaran dan peringatan bagi mereka supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut.
TEMPOH MASA
Saya akan mengambil langkah dengan membuat pemerhatian terhadap kanak-kanak yang bermasalah dan akan menyelesaikan masalah ini secepat yang mungkin.
TINDAKAN SUSULAN
Masalah yang dihadapi dikaitkan dengan masalah pengurusan diri. Kanak-kanak yang bermasalah perlu diberi nasihat dan diambil perhatian kerana mereka perlu mengubah tingkah laku mereka dan perlu bersifat mendengar kata guru. Di sini saya akan mengambil langkah dengan memerhati kanak-kanak yang berkenaan secara jarak jauh dan berjumpa ibu bapa mereka untuk bertanyakan kepada ibu bapa mereka tentang tingkah laku anak mereka di rumah adakah sama semasa di sekolah. Menurut pemerhatian yang saya lakukan saya dapati masalah ini boleh diatasi dengan cara memberi nasihat kepada mereka secara individu dan memberi mereka dendaan jika tindakan nasihat tidak berhasil. Kanak-kanak ini bersifat manja dan memerlukan perhatian serta disayangi. Sebagai seorang guru saya perlu memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini dan perlu bijak mencari jalan penyelesaiannya.
KESIMPULAN
Hasil daripada pemerhatian ke atas kes ini, ia dapat diatasi sekiranya guru mempunyai sikap yang tegas terhadap kanak-kanak supaya mereka dapat menghormati para tetamu yang hadir ke tabika. Guru juga perlu menasihati murid akibat tidak menghormati tetamu yang datang. Selain itu, guru perlu sentiasa memerhati setiap tingkah laku anak muridnya dan memahami kerenah kanak-kanak di sekolah. Seseorang guru juga perlu mempunyai sikap yang penyayang dan penyabar bagi menghadapi kerenah murid-murid yang mempunyai pelbagai ragam dan perangai.
No comments:
Post a Comment