Sunday, 24 July 2011

JURNAL MINGGU KELIMA

PENULISAN JURNAL
MINGGU : 5  PRAKTIKUM

TARIKH         : 18 JULAI HINGGA 22 JULAI 2011
TAJUK           : Masalah kawalan kelas

MASALAH
Pada minggu kelima praktikum saya telah mengalami masalah kawalan kelas di mana anak murid saya suka membuat bising sekiranya ada orang yang datang melawat atau sesiapa sahaja yang datang ke tabika saya. Mereka seperti tidak menghormati tetamu yang hadir. Apabila ada tetamu yang ingin berjumpa dengan saya mereka akan sibuk berkumpul ke tempat saya semasa saya sedang berbincang dengan tetamu walaupun mereka sedang membuat kerja yang diberikan oleh saya. Masalah kelas agak kurang memuaskan. Masalah yang saya hadapi sekarang adalah saya sukar untuk mengawal kelas ketika ada orang datang melawat, terutamanya sewaktu pembekal datang untuk mengambil bayaran yang tertunggak di tabika. Saya agak malu, namun begitu saya cuba sedaya upaya untuk mengawal kelas dengan baik. Setakat ini syukur Alhamdulillah saya masih dapat mengawal kelas walaupun terpaksa menggunakan pelbagai kaedah. Dengan cara ini juga ia dapat menambah ilmu pengetahuan saya di dalam mengatasi masalah tingkah laku murid. Masalah ini juga dapat dikaitkan dengan persekitaran kawasan tabika saya yang bising kerana terdapat kerja-kerja pengubahsuaian balai raya. Keadaan pertukangan yang bising ditambah dengan habuk yang tebal menyebabkan keadaan yang tidak selesa bagi saya. Mungkin ini salah satu punca murid-murid saya menjadi aktif dan tidak mendengar suara dengan lebih jelas semasa saya memarahi mereka dengan tujuan bagi mereka senyap seketika.

ANALISIS MASALAH
Perancangan yang teliti adalah penting untuk mengajar. Mengikut  Clark and Lampert (1986), perancangan guru menentukan apa yang diajar disekolah-sekolah. Perancang yang baik melibatkan peruntukan penggunaan masa dan  pemilihan kaedah mengajar yang sesuai agar boleh menarik  minat pelajar dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang produktif. Malah aktiviti yang menarik dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Maka di sini murid-murid tidak akan menganggu pengurusan guru dengan para pelawat yang datang ke tabika ataupun sekolah. Marilah kita melihat bagaimana guru merancang pengajarannya. Sebelum guru merancang, beliau patut ikuti prinsip merancang pengajaran:
  • Menentukan apa yang hendak diajar
  • Merancang bagaimana hendak mengajar
  • Mencari  cara  memudah cara pembelajaran
  • Pengurusan pembelajaran.


CADANGAN
Langkah-langkah yang perlu saya ambil adalah seperti berikut :
1)    Memberi peneguhan yang positif kepada murid sekiranya ia berkelakuan baik dan tidak mengganggu rakan-rakan yang lain.
2)    Mengadakan teknik pembelajaran yang menarik dan menggunakan pelbagai bahan yang sesuai serta menggunakan teknik variasi rangsangan bagi menarik minat mereka.
3)    Menasihati dan menegur mereka jika tidak menunjukkan tingkah laku yang kurang sopan di depan tetamu.
4)    Memberi mereka dendaan atas perbuatan yang mereka lakukan sebgai pengajaran dan peringatan bagi mereka supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut.
TEMPOH MASA
            Saya akan mengambil langkah dengan membuat pemerhatian terhadap kanak-kanak yang bermasalah dan akan menyelesaikan masalah ini secepat yang mungkin.

TINDAKAN SUSULAN
            Masalah yang dihadapi dikaitkan dengan masalah pengurusan diri. Kanak-kanak yang bermasalah perlu diberi nasihat dan diambil perhatian kerana mereka perlu mengubah tingkah laku mereka dan perlu bersifat mendengar kata guru. Di sini saya akan mengambil langkah dengan memerhati kanak-kanak yang berkenaan secara jarak jauh dan berjumpa ibu bapa mereka untuk bertanyakan kepada ibu bapa mereka tentang tingkah laku anak mereka di rumah adakah sama semasa di sekolah.  Menurut pemerhatian yang saya lakukan saya dapati masalah ini boleh diatasi dengan cara memberi nasihat kepada mereka secara individu dan memberi mereka dendaan jika tindakan nasihat tidak berhasil.  Kanak-kanak ini bersifat manja dan memerlukan perhatian serta disayangi. Sebagai seorang guru saya perlu memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini dan perlu bijak mencari jalan penyelesaiannya.

KESIMPULAN
            Hasil daripada pemerhatian ke atas kes ini, ia dapat diatasi sekiranya guru mempunyai sikap yang tegas terhadap kanak-kanak supaya mereka dapat menghormati para tetamu yang hadir ke tabika. Guru juga perlu menasihati murid akibat tidak menghormati tetamu yang datang. Selain itu, guru perlu sentiasa memerhati setiap tingkah laku anak muridnya dan memahami kerenah kanak-kanak di sekolah.  Seseorang guru juga perlu mempunyai sikap yang penyayang dan penyabar bagi menghadapi kerenah murid-murid yang mempunyai pelbagai ragam dan perangai.

REFLEKSI MINGGU KELIMA

REFLEKSI HARIAN PRAKTIKUM

TARIKH / HARI         : 20.7.2011 (Rabu)
MODUL                      : Bertema
SUBJEK                    : Seni
TUNJANG                 : Tunjang Fizikal dan Estetika (kreativiti)

Releksi Guru Pelatih           :
1.    Pendekatan  dan Kaedah.
Pembelajaran pada hari ini saya menggunakan kaedah kelas dalam melaksanakan aktiviti. Pada mulanya saya membuat perbincangan bersama murid tentang haiwan jinak jenis kucing. Murid memberi respons dengan memberi pendapat mereka tentang haiwan kesayangan mereka iaitu jenis kucing. Beberapa orang murid telah menceritakan pengalaman mereka tentang menjaga kucing kesayangan mereka semasa di rumah. Setelah habis sesi perbincangan saya telah memperkenalkan kepada murid tentang alat bahan yang akan digunakan untuk membuat kolaj sebagai bulu kucing pada gambar kucing. Murid berasa teruja untuk melakukan aktiviti dan mereka tidak sabar untuk menampal kapas sebagai bulu kucing. Namun begitu, terlebih dahulu murid perlu mewarnakan latar  belakang pada gambar kucing berkenaan. Hanya tempat tertentu sahaja yang tidak perlu diwarnakan. Selepas itu, barulah murid boleh menampal kapas pada gambar badan kucing berkenaan. Penyediaan alat bahan yang disediakan oleh saya semasa aktiviti dapat digunakan sepenuhnya oleh murid. Objektif yang diutarakan adalah tercapai di mana murid dapat menyiapkan tugasan yang diberikan kepada mereka. Malah murid berasa bangga kerana hasil kerja mereka dapat dipamerkan.

TEKNIK
  1. Pada mulanya saya menggunakan teknik perbincangan bersama murid di mana perbincangan adalah mengenai kucing kesayangan mereka.
  2. Kemudian  saya menggunakan teknik  penerangan supaya murid-murid mengetahui cara untuk membuat kolaj bulu kucing pada gambar kucing.
  3. Menggunakan teknik memberi arahan dalam melakukan aktiviti supaya murid-murid dapat menjalankan tugas mengikut langkah-langkah yang disediakan.
  4. Objektif adalah tercapai di mana murid-murid berjaya menghasilkan kolaj untuk membentuk bulu kucing pada gambar malah turut mengetahui bahawa kucing mempunyai bulu.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
  1.  Saya perlu menggunakan teknik penyoalan supaya murid dapat mengingati cara membuat kolaj bulu kucing di rumah malah boleh menunjukkan cara membuatnya kepada rakan-rakan yang lain.
  2. Saya perlu membaiki cara pengawalan kelas semasa melakukan aktiviti seperti ini supaya murid dapat memberi fokus yang lebih terhadap pembelajaran.

Sunday, 17 July 2011

JURNAL MINGGU KEEMPAT

PENULISAN JURNAL
MINGGU : 4 PRAKTIKUM

TARIKH         : 11 JULAI HINGGA 15 JULAI 2011
TAJUK           : Masalah murid suka membuat bising

MASALAH
            Pada minggu keempat praktikum ini saya mengalami masalah murid suka membuat bising di dalam kelas. Ini termasuklah semasa sesi perbualan pagi, semasa melakukan aktiviti dan semasa sesi penerangan. Saya mempunyai 30 orang anak murid dimana semuanya aktif dan berminat dengan pelajaran. Namun begitu, terdapat beberapa orang murid yang suka bercakap semasa saya membuat penerangan dan semasa membuat kerja. Sebagai contohnya semasa sesi penerangan, kanak-kanak suka bercakap bersama-rakan yang lain sehinggakan saya berasa kurang sabar dan menegur mereka. Kebanyakkan murid yang suka bercakap itu adalah murid yang duduk dibarisan belakang. Oleh hal yang demikian, saya mengambil tindakan dengan mengalihkan mereka duduk dibarisan hadapan. Malah terdapat juga murid yang tidak reti sabar untuk bercakap semasa sesi penerangan. Sebagai contohnya  semasa saya memberi penerangan mereka tidak sabar untuk bercakap dan menyebabkan saya kehilangan idea untuk bercakap. Kanak-kanak ini sering bercakap semasa makan. Kadang saya tidak faham kenapa kanak-kanak ini sering bercakap dari sesi awal pagi sehinggakan waktu hendak pulang mereka masih lagi bercakap tidak habis-habis. Kadang-kadang ia menguji tahap kesabaran saya. Jika mereka sering dan banyak bercakap tidak berhenti-henti mereka akan kehilangan tumpuan semasa sesi pembelajaran. Oleh itu, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. Itu yang menyebabkan kerisauan timbul dalam diri saya. Pelbagai cara telah saya lakukan namun begitu ia hanya berjalan seketika sahaja.
ANALISIS MASALAH
            Menurut Cottle dan Downie (1970) kaunseling dibawah bimbingan secara individu merujuk kepada proses perbincangan di antara kaunselor dengan kliennya di mana kaunselor ini berusaha menolong kliennya memahami diri sendiri dan menerima masalah yang dihadapi dengan tenang dan tabah. Sikap yang ditunjukkan oleh murid ini menyebabkan saya terpaksa menyiasat tentang masalah yang dihadapi oleh dirinya. Saya telah menjalankan siasatan ke atas dirinya dan didapati bahawa beliau ingin memberontak kerana ibu dan bapanya amat sibuk bekerja dan beliau dijaga oleh pembantu rumahnya. Hal inilah yang menyebabkan beliau malas untuk belajar dan suka membuat bising semasa di dalam kelas. Ini adalah kerana beliau memerlukan perhatian dan kasih sayang yang lebih dari keluarganya.

CADANGAN
Langkah-langkah yang perlu saya ambil adalah seperti berikut :
1)    Menukar tempat duduk kanak-kanak yang suka membuat bising ke hadapan atau dari tempat murid yang suka berbual.
2)    Menjadikan mereka sebagai model dihadapan supaya mereka rasa dihargai ataupun berasa malu kerana sikap mereka yang suka bercakap.
3)    Memberi mereka peneguhan yang positif kepada dirinya, sekiranya ia berkelakuan baik dan tidak mengganggu rakan-rakan yang lain.
4)    Memberikan mereka dendaan sebagai peringatan supaya mereka tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut.
5)    Mengadakan teknik pembelajaran yang menarik dan menggunakan pelbagai bahan yang sesuai serta mengadakan teknik variasi rangsangan bagi menarik minat mereka.

TEMPOH MASA
            Saya akan mengambil langkah dengan membuat pemerhatian terhadap kanak-kanak yang bermasalah dan akan menyelesaikan masalah ini secepat yang mungkin.

TINDAKAN SUSULAN
            Masalah yang dihadapi dikaitkan dengan masalah pengurusan diri. Kanak-kanak yang bermasalah perlu diberi nasihat dan diambil perhatian kerana mereka perlu mengubah tingkah laku mereka dan perlu bersifat mendengar kata guru. Di sini saya akan mengambil langkah dengan memerhati kanak-kanak yang berkenaan secara jarak jauh dan berjumpa ibu bapa mereka untuk bertanyakan kepada ibu bapa mereka tentang tingkah laku anak mereka di rumah adakah sama semasa di sekolah.  Menurut pemerhatian yang saya lakukan saya dapati masalah ini boleh diatasi dengan cara memberi nasihat kepada mereka secara individu dan memberi mereka dendaan jika tindakan nasihat tidak berhasil.  Kanak-kanak ini bersifat manja dan memerlukan perhatian serta disayangi. Sebagai seorang guru saya perlu memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini dan perlu bijak mencari jalan penyelesaiannya.

KESIMPULAN
            Hasil daripada pemerhatian ke atas kes ini, ia dapat diatasi dengan mudah oleh guru sekiranya dapat membahagikan masa dengan lebih baik dan memberi perhatian yang lebih kepada pelajar-pelajarnya khususnya yang mempunyai masalah pembelajaran dan guru pelatih hendaklah percaya bahawa masalah yang dihadapi akan diatasi dengan jayanya melalui jati diri dalaman dan semangat perguruan yang tersemat dalam hati setiap guru. Seseorang guru juga perlu mempunyai sikap yang penyayang dan penyabar bagi menghadapi kerenah murid-murid yang mempunyai pelbagai ragam dan perangai.

REFLEKSI MINGGU KEEMPAT

REFLEKSI HARIAN PRAKTIKUM

TARIKH / HARI         : 13.7.2011 (Rabu)
MODUL                      : Bertema
SUBJEK                    : Matematik
TUNJANG                 : Tunjang Sains dan Teknologi

Releksi Guru Pelatih           :
1.    Pendekatan  dan Kaedah.

Pengajaran pada kali ini adalah berkaitan dengan mengenali nombor 10-20. Di dapati murid boleh mengira secara berturutan dari 10-20 dengan menggunakan jari mereka sendiri. Murid juga dapat mengenal dan menyebut nombor 10-20. Selain itu, saya telah mengajar murid mengeja perkataan bagi nombor 10-20 dengan menggunakan alat bahan seperti kad perkataan dank ad nombor. Sebagai contohnya nombor sebelas bagi nombor 11. Berdasarkan pemerhatian saya pada lembaran kerja yang saya berikan kepada murid, murid dapat menulis nombor mengikut bilangan objek apabila mereka membilang objek pada lembaran tersebut. Namun begitu ada beberapa orang murid yang tidak tahu menulis nombor dengan betul terutamanya murid yang berumur 5 tahun. Tetapi pada keseluruhan pembelajaran pada hari ini adalah tercapai. Murid dapat menggunakan alat pembelajaran dengan sebaiknya dan murid berasa seronok ketika menjalankan aktiviti ini. Kaedah yang digunakan dalam pembelajaran ini adalah kerja individu dan kelas.




TEKNIK

1.    Menggunakan teknik penerangan terlebih dahulu supaya murid memahami konsep nombor 10-20.
2.    Meminta murid mengeja perkataan bagi setiap nombor dari nombor 10-20.
3.    Menggalakkan murid mengira sebagai contohnya pada lembaran kerja dengan mengira nilai objek dan kemudian menulis nombor pada ruang yang disediakan.
4.    Objektif pada pembelajaran ini adalah tercapai.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

1.    Melakukan latihan pengukuhan bagi murid yang lemah dalam mengenal nombor dengan membawa latihan ke rumah.
2.    Meminta murid ke hadapan untuk memadankan bilangan objek dengan nombor.

Tuesday, 12 July 2011

RELFEKSI MINGGU KETIGA

REFLEKSI HARIAN PRAKTIKUM

TARIKH / HARI         : 6.7.2011 (Rabu)
MODUL                      : Bertema
SUBJEK                    : Bahasa Inggeris
TUNJANG                 : Tunjang Bahasa dan Komunikasi (BI)

Releksi Guru Pelatih           :
1.    Pendekatan  dan Kaedah.

Pengajaran pada kali ini adalah berkaitan dengan pembacaan dan mengeja. Saya telah menggunakan pendekatan berpusatkan guru dengan murid di mana pada awalnya saya mengeja perkataan  “I like mangosteen” dan kemudian diikuti oleh murid-murid secara berulang. Selepas itu, saya telah meminta salah seorang murid mengeja dan membaca ayat tersebut dan diikuti oleh murid yang lain. Saya juga telah menggunakan kaedah penerangan kepada murid berkenaan dengan maksud ayat tersebut iaitu “saya suka buah manggis”.  Penggunaan pendekatan alat bahan pula digunakan sepenuhnya tetapi malangnya murid-murid tidak dapat menghasilkan hasil kerja mereka dengan sempurna kerana kesuntukan masa mungkin disebabkan oleh aktiviti ini terlalu berat. Ini disebabkan dalam aktiviti ini saya meminta murid-murid untuk menggunting huruf dan menampalnya untuk menjadi ayat seperti yang dipelajari dalam masa beberapa minit sahaja. Walaubagaimanapun terdapat murid yang telah mencapai pembelajaran mereka di mana mereka dapat menyiapkan hasil kerja mereka dengan sempurna.



TEKNIK
1)    Menggunakan teknik nyanyian semasa sesi induksi supaya dapat menarik minat murid-murid.
2)    Menggunakan teknik kelas di mana saya mengajar murid mengeja dahulu perkataan dalam ayat “I like mangosteen”
3)    Objektif pada pembelajaran kali ini ada yang tercapai dan ada yang tidak tercapai.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

1)    Menjalankan aktiviti mengikut masa yang telah ditetapkan.
2)    Menjalankan aktiviti dengan mengikut kemampuan murid dan kesesuainya dengan masa yang diberikan.
3)    Saya akan mengubah teknik pengajaran saya dengan caralebih bersemangat untuk mengajar dan mengelakkan gangguan dari anasir luar.

Sunday, 10 July 2011

JURNAL MINGGU KETIGA

PENULISAN JURNAL
MINGGU : 3 PRAKTIKUM

TARIKH         : 4 JULAI HINGGA 8 JULAI 2011
TAJUK           : Masalah tingkah laku kanak-kanak

MASALAH
             
Pada minggu ini iaitu minggu ketiga sesi praktikum saya mengalami masalah tingkah laku kanak-kanak yang hiperaktif iaitu kanak-kanak yang sukar dikawal dan tidak memberi  tumpuan semasa sesi pembelajaran dan pengajaran. Sebagai contohnya semasa saya menjalankan sesi penerangan kepada mereka terdapat dua orang murid yang tidak reti duduk diam iaitu mereka sering bangun dan mengusik rakan mereka yang lain. Ini menyebabkan rakan-rakan mereka hilang tumpuan semasa sesi pembelajaran. Pelbagai cara telah saya lakukan namun begitu ia tidak memberikan kesan kepada kanak-kanak tersebut. Mereka berdua suka mengganggu rakan-rakan yang lain sewaktu belajar dan tidak menyiapkan segala kerja yang diberikan oleh saya kepada mereka. Malah jika mereka berbuat demikian saya akan memanggil kedua-dua orang kanak-kanak berkenaan dan duduk di depan saya semasa membuat kerja. Kini masuk minggu ketiga saya menjalani praktikum, saya masih lagi berusaha untuk mengubah tingkah laku mereka. Oleh yang demikian sebagai seorang guru, saya harus pandai menyesuaikan diri dalam situasi begini agar dapat mencapai matlamat yang diinginkan. Begitu jugalah dengan keadaan diri saya ini semasa menghadapi saat-saat pertama menjalani praktikum. Saya telah membuat pelbagai rancangan dan persediaan supaya saya dapat menjalani praktikum dengan baik dan mencapai kejayaan. Penyelesaian bagi masalah tingkah laku kanak-kanak ini ialah perlu diatasi dengan segera agar ia tidak berlarutan kerana jika terlalu lama tertangguhnya masalah ini ia akan menjadi beban dan bertambah berat. Di sini bukan maksud saya mengatakan masalah ini amat membebankan, namun sekiranya ia tidak dibendung lebih awal ia akan berpanjangan. Sebagai guru saya perlu bijak dalam menangani masalah ini. Ini adalah kerana, apabila telah masuk dalam bidang profesion perguruan, masalah tingkah laku kanak-kanak perlu di ambil kira.

ANALISIS MASALAH
Menurut Sue Cowley dalam bukunya yang berjudul Gettings The Buggers To Behave 2001 mengatakan pelajar-pelajar diawal persekolahan mempunyai tahap keterujaan yang tinggi terhadap sesuatu perkara yang baru mereka temui atau alami. Mereka berkecenderungan bersikap nakal kerana masih dalam percubaan untuk melihat apakah sikap yang dapat diterima dalam dunia dan situasi yag baru bagi mereka.

CADANGAN
Langkah-langkah yang perlu saya ambil adalah seperti berikut :
1)    Memberi kepercayaan, amanah, tangungjawab untuk melakukan sesuatu tugasan.
2)    Menukar tempat duduk dihadapan supaya mudah diperhatikan gerak-geri mereka.
3)    Menjadikan mereka model dihadapan supaya mereka rasa dihargai.
4)    Memberi peneguhan yang positif kepada dirinya, sekiranya ia berkelakuan baik dan tidak mengganggu rakan-rakan yang lain.
5)    Mengadakan teknik pembelajaran yang menarik dan menggunakan pelbagai bahan yang sesuai serta menggunakan teknik variasi rangsangan bagi menarik minat mereka.
TEMPOH MASA
            Saya akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini dengan mengambil langkah-langkah membuat pemerhatian dan berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak yang bermasalah secepat yang mungkin.

TINDAKAN SUSULAN
            Masalah yang dihadapi dikaitkan dengan masalah pengurusan diri. Perkara sebegini adalah normal bagi setiap guru pelatih yang menjalani praktikum iaitu tentang masalah tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah. Namun, masalah ini bukanlah bersifat kekal jikan kita bijak mengatasinya. Bagi mengatasi masalah ini saya telah membuat tindakan dengan berjumpa ibu bapa kedua-dua orang pelajar berkenaan untuk mengetahui tingkah laku mereka semasa berada di rumah. Di dapati murid pertama berkelakuan baik dan mendengar kata semasa berada di rumah. Yang dihairankan adalah kenapa murid ini berkelakuan tidak reti duduk diam semasa disekolah. Oleh itu dengan analisis yang saya dapati beliau merupakan anak bongsu dan sangat manja. Mungkin masalah ini terjadi kerana beliau tiada kawan untuk bermain di rumah kerana didapati abangnya sudah besar. Manakala murid yang kedua pula, apabila ditanya kepada ibunya ia menjawab dan mengakui bahawa anaknya memang nakal dan hiperaktif semasa di rumah dan sering mengusik adik dan kakak beliau. Tiap-tiap hari ia akan menganggu kakak dan adiknya semasa membuat kerja ataupun bermain. Jika tidak mendapat sesuatu barang yang diingini beliau akan memberontak sama seperti di sekolah ketika bermain bersama-sama rakan. Oleh yang demikian, saya dapati sikapnya masih boleh diubah dari masa ke semasa dan saya dapati kedua-dua orang kanak-kanak ini memerlukan pemerhatian dan ingin disayangi. Sebagai guru saya perlu memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah tersebut.


KESIMPULAN
            Hasil daripada pemerhatian ke atas kes seperti ini, ia dapat diatasi dengan mudah oleh para guru pelatih sekiranya guru dapat membahagikan masa dengan baik dan memberi perhatian yang lebih kepada pelajar-pelajar khususnya yang mempunyai masalah pembelajaran dan guru pelatih hendaklah percaya bahawa masalah yang dihadapi akan diatasi dengan jayanya melalui jati diri dalaman dan semangat perguruan tersemat dalam hati setiap guru. Oleh yang demikian kanak-kanak yang mengalami masalah seperti ini mereka perlu diberi perhatian yang cukup dan guru perlu mangadakan teknik pemujukan supaya mereka lebih berminat untuk belajar. Guru juga perlu menarik minat mereka untuk menyertai sesi pembelajaran semasa di dalam kelas.